Tuesday, January 25, 2011

Tuesday, January 5, 2010

Keberanian Umar


SAIDINA Umar tidak pernah mendapat pendidikan sekolah, apa lagi merantau ke pelosok negeri untuk menuntut ilmu atau hidup di kalangan ahli pemikir. Tetapi dia berjaya memberi contoh kepada kaumnya dalam mengurus pemerintahan dan kekuasaan yang penuh dengan keadilan, kebijaksanaan, keutamaan dan berlandaskan fiqh (hukum) Islam.

Sebelum memeluk Islam, Umar dikenali di kalangan kaumnya sebagai utusan yang mampu berdiskusi, berdialog dan menyelesaikan pelbagai urusan. Dia juga pedagang yang mahir dan tekun dalam perdagangannya.

Umar dikenali sebagai orang yang mempunyai peribadi kasar, kukuh dalam memegang prinsip dan berkedudukan tinggi. Oleh kerana itulah dia digelar Al-Faruq Umar Ibnul Khattab.

Selepas memeluk Islam, Umat pernah bertanya kepada Rasulullah SAW: “Ya, Rasulullah, mengapa kita bersembunyi dalam menyiarkan agama kita, pada hal kita berada di atas kebenaran dan mereka (kaum kafir) kebatilan?”

Rasulullah SAW menjawab: “Jumlah kita sedikit dan kamu dapat melihat sendiri apa yang selalu kita alami.”

Umar berkata lagi: “Demi yang mengutus engkau dengan hak, akan berjanji bahawa tiap-tiap tempat yang pernah aku sebarkan kekafiran, akan aku datangi untuk menyebarkan keimanan.”

Pada suatu hari Rasulullah SAW bersama kaumnya menuju Kaabah dengan dua barisan. Barisan pertama dipimpin oleh Hamzah dan kedua dipimpin oleh Umar. Ketika melihat barisan yang dipimpin oleh Hamzah dan Umar, kaum kafir tampak muram dan kecut hatinya. Maka, sejak itul Rasulullah SAW memberi gelaran “Al-faruq” bererti “pembeza di antara hak dengan batil” kepada Umar.

Ketika kaum Muslimin hijrah ke Madinah, mereka seluruhnya meninggalkan kota Makkah secara sembunyi-sembunyi kecuali Umar. Hanya Umar yang hijrah secara terang-terangan.

Dia sengaja pergi pada siang hari dan melalui gerombolan Quraisy. Ketika melalui mereka, Umar berkata: “Aku akan meninggalkan Makkah dan berhijrah ke Madinah. Barang siapa yang ingin menjadikan ibunya kehilangan puteranya atau ingin anaknya menjadi yatim, silakan menghadang aku di belakang lembah ini!”

Mendengar perkataan Umar yang gagah itu, tidak seorang pun yang berani mengekori apa lagi mencegah Umar.

Itulah kekuatan yang dimiliki Umar sejak awal keimanannya hingga dalam mengharungi seluruh kehidupannya.

Pada zaman seperti ini, alangkah perlunya kita memiliki orang seperti Umar. Kuat jiwa raganya dan kukuh keperibadiannya. Kerana Allah senang kepada orang yang berjiwa kuat dan benci kepada orang berjiwa lemah.

Apa yang dapat membangkitkan kejayaan Islam adalah apa dan bagaimana yang pernah dikerjakan kaum Muslimin terdahulu.

Ketokohan Umar turut terserlah ketika peristiwa Siti Aisyah difitnah. Rasulullah SAW bermusyawarah dengan beberapa tokoh sahabat untuk meminta pandangan mereka.

Ketika Baginda berbicara dengan Umar, dia berkata “Ya, Rasulullah, siapakah yang mengahwinkan Rasulullah dengan Aisyah?” Nabi SAW menjawab: “Allah”.

Umar bertanya lagi: “Apakah Allah menipu anda?”

“Maha suci, Engkau, ya, Allah, sesungguhnya ini berita bohong yang besar,” ucap Rasulullah SAW.

Selepas Baginda mengucapkan itu, turunlah firman Allah bermaksud: “Dan mengapa kamu tidak berkata, waktu mendengar berita bohong itu: “Sekali-kali tidaklah patut bagi kita memperkatakan ini. Maka Suci Engkau (Ya Rabb kami), ini adalah dusta yang besar.” (Surah an-Nuur, ayat 16).

Read more: http://scripters.ning.com/forum/topic/show?id=2386880%3ATopic%3A265780&xgs=1&xg_source=msg_share_topic#ixzz0bmfncpRX

Wednesday, December 23, 2009

Seorang Hamba..


Dalam kita membuat kebaikan baik kita bersembahyang, bersedekah, tolong orang, mengerjakan haji atau berbagai kebaikan lain, bagaimana rasa hati kita di waktu itu? Bila buat kebaikan, hati mesti ada rasa. Apakah di waktu itu kita sudah rasa aman dengan kebaikan itu? Terasa selamat. Rasa yakin bahawa Allah terima ibadah kita. Kita yakin kita sudah menjadi orang baik-baik. Kita sudah mengira-ngira syurga mana yang sesuai untuk kita. Lebih dahsyat lagi bila kita rasa hebat, rasa cukup sempurna dan bangga dengan kebaikan yang sudah kita buat. Kita rasa bahawa kitalah orang yang telah membuat kebaikan. Kita pandang orang lain kecil. Pandang yang lain sudah tidak selamat. Kita rasa mereka akan masuk ke neraka. Yang mereka itu dari golongan jahat-jahat.

Sebenarnya kalau beginilah rasa-rasa kita di waktu membuat kebaikan sebenarnya kita sudah tertipu dengan kebaikan yang kita buat. Bila membuat kebaikan hati tidak boleh merasa baik. Bayangkan kalau kita sembahyang, hati merasa kita orang yang kuat bersembahyang. Bila kita bersedekah, hati kita terasa kita ini seorang pemurah. Bila kita tolong orang, kita rasa kita ini seorang yang penyayang, suka tolong orang dan bertanggungjawab. Bila kita kerja haji, kita rasa haji kita ini sudah mabrur dan layak mendapat tempat di sisi Tuhan. Hakikatnya rasa-rasa inilah yang mendorong kita kepada kemurkaan Tuhan, bukan kesukaanNya. Rasa-rasa inilah yang menjadikan kita sahabat syaitan, yang sombong dan angkuh bila sudah dapat kelebihan. Rasa-rasa ini bukan rasa-rasa yang menjadikan kita orang baik. Rasa-rasa ini layak menghumbankan kita ke neraka. Rasa-rasa ini bukan mendekatkan kita kepada Tuhan, tetapi jauh daripada Tuhan. Rasa ini menjadi kita orang yang hina di hadapan Tuhan. Tidak beradab dengan Tuhan.

Mana boleh dengan nikmat kebaikan yang kita sudah boleh buat, yang dianugerahkan oleh Allah, kita sudah rasa selamat dan rasa baik. Boleh buat baik itukan anugerah Tuhan. Allah gerakkan hati kita untuk boleh buat kebaikan. Allah yang kehendaki. Tapi seolah-olah kita rasa kita sudah berbuat. Kita rasa kita yang empunya kebaikan. Bukan milik Tuhan. Bukan keizinan Tuhan. Sudahlah itu, kita pula yakin sangat yang Allah terima ibadah kita. Tahukah kita sejauhmana keikhlasan kita pada ibadah tersebut. Sedangkan malaikat yang membawa amal kita itu pun tidak tahu nilai ikhlas ibadah tersebut. Ia adalah rahsia Allah. Hanya Allah sahaja yang mengetahui sejauhmana ikhlasnya ibadah seseorang hambaNya.

Mana rasa hamba kita bila kita buat kebaikan atau buat ibadah? Bukankah kita ini hamba Tuhan.


Bagaimana adab, tingkah laku seorang hamba? Kenalah betul-betul jaga adab di hadapan tuannya. Kenalah sangat rasa takut dan cemas di hadapan tuannya. Walaupun sudah buat banyak kerja, bolehkah kita mendabik dada, bercekak pinggang di hadapan tuan kita. Kita kata pada tuan kita, saya sudah buat ini, sudah buat itu. Seolah-olah kita jadi tukang nilai pada kerja-kerja kita. Bolehkah kita yang buat kerja, kita nilai sendiri kerja kita. Kita bagi gred sendiri untuk kerja kita. Kita tak mahu bagi yang terburuk untuk kerja kita tapi bagi kita kerana rasa yang kita buat sudah elok, sudah sempurna, kita bagi “A” untuk kerja kita. Kita menunjuk-nunjuk dengan tuan kita yang kitalah yang terbaik. Atau kita sudah rasa berbuat, kita pun “demand” macam-macam dengan tuan kita.


Begitulah misalannya untuk kita agar bila kita dengan Tuhan, rasa hamba kita itu kekal. Sesuai dengan watak hamba, sesudah membuat kebaikan, patut-patutnya kita rasa berdosa. Sudah buat kebaikan, rasalah tidak sempurna. Rasalah kebaikan itu banyak cacat-celanya. Rasalah ibadah yang dilakukan tadi tak dapat kita buat kalau tak diizinkan Tuhan. Sentiasalah bertanya-tanya pada diri apalah nasib amal kebaikan tersebut. Sentiasalah mengharap-harap agar Allah terima. Rasakan kebimbangan, takut-takut Allah lemparkan kebaikan itu kepada kita semula. Malulah di hadapan Tuhan dengan kebaikan kita itu. Tak tahu kita bagaimana rupa kebaikan kita itu bila sampai kepada Tuhan. Elokkah? Atau buruk sekali hingga tiada nilai di sisi Tuhan. Rasailah serba kekurangan pada kebaikan kita itu. Serahlah kepada Allah untuk menilai kebaikan kita. Bagi kita, kita tak layak. Rasailah kita ini bukan orang baik. Kita banyak dosa. Banyak buat kejahatan. Kebaikan-kebaikan yang kita buat itu, lupa-lupakanlah. Jangan dikenang-kenang. Seeloknya sentiasa merintih pada dosa-dosa yang kita lakukan. Sentiasalah merasa kita ini orang yang jahat. Orang yang banyak membuat dosa dan kemungkaran. Soal syurga janganlah difikir-fikirkan sangat. Itu hak Allah untuk memberi. Itu hadiah daripada Allah. Patutnya kita selalu memikirkan yang neraka itu. Atas terasa kita ini bakal dicampakkan ke neraka atas dosa-dosa kita itulah, yang membuat kita sentiasa memohon keampunannya dan mengharapkan rahmatNya.


Janganlah kita memandang dan ambil berat keburukan orang lain. Berbaik sangkalah terhadap mereka. Mana tahu mereka ini walaupun dalam membuat kejahatan, hati selalu merintih dengan Tuhan. Selalu rasa berdosa. Itu lebih baik daripada kita jika kita yang buat baik ini sudah rasa baik dan rasa selamat. Ambil beratlah dosa-dosa kita itu kerana ianya lebih utama. Pandang seriuslah kejahatan-kejahatan kita itu.

Sesungguhnya banyak mana amal kita atau banyak mana kejahatan kita itu, ia adalah ukuran lahir kita sahaja. Tetapi Allah menilai hati kita. Sejauhmana hati kita dengan Tuhan. Adakah hati kita merasa kehambaan atau sudah ada rasa-rasa ketuanan dalam diri. Yang penting sekarang ialah buat amal tetapi jaga hati. Amal kebaikan yang sedikit diiringi dengan hati yang merasa hamba itu lebih baik daripada amal kebaikan yang banyak tetapi dibawa dengan rasa ketuanan. Kalaulah kita boleh mengekalkan rasa hamba hingga saat kematian kita, nescaya itulah yang Allah pandang dan kehendaki. Takut-takut kita tak dapat kekal rasa hamba, hinggalah saat kematian kita itu, kita membawa rasa ketuanan. Mintalah perlindungan daripada Allah.

Siapakah sohibuzaman dizaman ini?


Maksud Sohibuzzaman


Sohibuzzaman ertinya orang yang menguasai di zamannya, begitulah ketentuan Allah Taala setiap zaman, sebagai rahmat Allah kepada umat khusunya umat Islam. Antara ciri-cirinya adalah seperti berikut:


1. Orang yang paling arif atau kenal Tuhan di zamannya
2. Yang sangat mendalam rasa bertuhan dan rasa kehambaan.Dialah yang paling takut & cintakan Tuhan .
3. Yang sangat mendalam ilmu hati manusia
4. Dia dapat ilham dari Tuhan.Kupasan ilmunya sesuai dengan zaman ketika itu walaupun kadang-kadang agak bercanggah dengan ulamak sezamannya kerana ilmunya adalah ilham dari Tuhan(bukan wahyu).
5. Sangat faham mendidik manusia dan sangat memberi kesan kerana dia menunjukkan sikap/beramal dengan ilmunya.Bukan teori semata-mata.
6. Peristiwa-periwtiwa di zamannya, dia sangat faham maksud/hikmahnya.
7. Sekali-sekala mendapat berita ghaib dari Tuhan
8. Dia sentiasa mendapat petunjuk dari Allah Taala dan dilindungi Tuhan walaupun sentiasa dimusuhi oleh penentangnya.
9. Orang yang paling bertaqwa di zamannya
10. Manusia di zamannya mendapat berkat daripadanya - Dengan sebabnya mereka diberi rezeki, dibantu, diberi keselamatan dan mendapat ilmu - Ada orang yang dijauhkan bala bencana kerananya
11. Doanya kabul, orang boleh bertawasul kepadanya.


Sohibuz Zaman adalah pemilik zaman. Di setiap zaman, pastilah ada orang yang Tuhan utus untuk mewarisi zaman itu. contohnya para mujaddid. misalkan Imam Ghazali, mujaddid kurun ke-5, dialah Sohibuzaman di zaman itu. segala sesuatu yang berlaku di zaman itu adalah karenanya. Apabila ada raja yang melempar cincinnya ke laut dan meminta Imam Ghazali untuk mencari cincin tu di dalam lautan, dengan keramatnya sebagai SohibuzZaman, ia dapat temukan cincin tu

Sohibuzaman adalah karenanya dunia Tuhan selamatkan. Yang besar adalah SohibuZzaman di akhir zaman yang akan membangunkan tapak daulah ummah kedua. Ia adalah pemilik zaman itu. Ia dapat memproses seluruh hati2 manusia di zaman tu dengan keramat dan kebesaran yang Tuhan telah anugrahkan kepadanya. Gempa, banjir, kebakaran, atau apa jua yang berlaku di zamannya adalah karenanya, untuk menginsafkan manusia agar sedar semula. Mengapa sampai begitu sekali Tuhan memuliakan Sohibuzaman itu ? karena ketaqwaannya yang luar biasala pada Allah Ta'ala, hinggakan dunia ni Tuhan serah padanya. Dunia ini diwarisi untuk orang2 bertaqwa.. kalau sudah menjadi orang Tuhan, segala apa jua kan Tuhan bagi kepadanya.. begitulah kebesaran orang2 Tuhan. Rasulullah adalah Sohibul Azman, pemilik zaman dari awal lagi hingga dunia ni dikiamatkan Tuhan.... dan... yakinlah hanya Pada Sohibuzzaman ada keselamatan dunia dan akhirat

Yang pasti..mereka dinaikkan oleh Tuhan dan bukan oleh telunjuk/undi manusia.Bahasa mudahnya..mereka menjadi pemimpin bukan melalui jalan atau sistem ciptaan manusia.

CINTA DUNIA

Insan praktik amalan dalam realiti kehidupan berupaya lebarkan sayap addin di bumi

CINTAKAN dunia dan takutkan mati antara penyakit yang menimpa umat Islam dewasa ini berdasarkan peringatan Rasulullah SAW kepada umatnya pada akhir zaman. Penyakit itu berbahaya kerana boleh memberi kesan buruk kepada keutuhan dan kesatuan ummah.

Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Seluruh umat manusia hampir mengelilingi kamu seperti mereka (yang kebuluran) mengelilingi hidangan makanan, lalu seorang sahabat bertanya: Adakah kerana bilangan kami pada waktu itu sedikit, wahai Rasulullah? Jawab Baginda: Tidak, bahkan bilangan kamu amat ramai tetapi kamu adalah laksana buih di lautan. Allah akan mencabut daripada hati seteru atau musuh kehebatan kamu dan menyematkan dalam hati kamu perasaan al wahn. Lantas sahabat bertanya lagi: Ya Rasulullah! Apakah yang dimaksudkan dengan al wahn itu? Ujar Baginda: Iaitu cintakan dunia dan takutkan mati." (Hadis riwayat Abu Daud dan Ahmad) Berdasarkan maksud hadis itu, kita dapat merenung senario berlaku kepada umat Islam kini bertepatan
dengan sabda Rasulullah SAW. Biarpun, jumlah umat Islam di seluruh dunia melebihi satu bilion, mereka tidak memiliki kekuatan dan kekuasaan mentadbir alam ini.

Pada era dunia tanpa sempadan kuasa besar yang menjadi raja dunia kini berpihak kepada Amerika dan Eropah, bukan negara Islam. Malah, mereka menguasai pelbagai lapangan hidup dari aspek ekonomi, politik, sosial serta pendidikan. Akibatnya, umat Islam begitu lemah dan ketinggalan dalam pelbagai aspek kehidupan serta begitu mudah ditindas kuasa Barat. Tidak hairan negara umat Islam dengan mudah dijajah musuh dan mereka tidak mempunyai kekuatan mempertahankan tanah air apatah lagi menangkis serangan bertubi-tubi yang dilancarkan terhadap mereka.

Lebih pelik, umat Islam yang ditindas meminta bantuan ketenteraan daripada Barat yang sememangnya bersekongkol dengan musuh untuk menghancurkan Islam dan umatnya.

Justeru, apakah punca atau sebab umat Islam kini berkeadaan seperti itu? Rasulullah SAW menjawab persoalan itu melalui sabda bahawa penyakit cintakan dunia dan takutkan mati membarah dan menular dalam jiwa umat Islam.

Cintakan dunia dapat ditakrifkan keadaan manusia yang hanya menumpukan seluruh detik dan kehidupannya kepada dunia semata-mata, dunia adalah kehidupan awal dan akhir mencari keseronokan dunia tanpa noktah dengan tidak mengambil kira batas agama yang digariskan Allah.

Sedangkan, dunia menurut kaca mata Islam bukan perkara terlarang kepada umatnya mencari dan merebutnya kerana cintakan dunia adalah sifat
semula jadi yang memang ada pada semua manusia.

Sehubungan itu, Allah berfirman yang bermaksud: "Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia kesukaan kepada benda yang diingini nafsu iaitu perempuan dan anak pinak, harta benda yang berpikul daripada emas dan perak, kuda peliharaan bertanda lagi terlatih, binatang ternakan serta kebun tanaman. Semuanya itu kesenangan hidup di dunia. Dan (ingatlah) pada sisi Allah ada tempat kembali yang sebaik-baiknya (iaitu syurga)." (Surah ali-Imran, ayat 14)

Perlu ditegaskan, cinta dunia dilarang Islam ialah yang keterlaluan sehingga meminggirkan ajaran Islam. Islam adalah agama yang seimbang antara tuntutan duniawi dan ukhrawi.

Barangkali inilah amaran Allah kepada umat Islam mengenai hakikat dunia seperti firman-Nya yang bermaksud: "Ketahuilah bahawa kehidupan dunia itu tidak lain hanya permainan dan hiburan serta perhiasan dan bermegah-megah antara kamu serta berlumba-lumba membanyakkan harta benda dan anak pinak." (Surah al-Hadid, ayat 20)

Di samping itu, orang yang cintakan dunia digambarkan sebagai yang tidak mempunyai matlamat dan hala tuju kehidupan sebenarnya. Oleh itu, Rasulullah SAW membuat perumpamaan orang cintakan dunia seperti buih di lautan yang begitu mudah dibawa arus ke mana saja tanpa arah tujuan dan matlamat untuk menghempas di tepian pantai. Justeru, apa guna seseorang memiliki tubuh badan gempal dan sasa seandainya iman serta takwa di jiwanya kosong, mudah rapuh apabila dihempas badai cubaan dan cabaran mendatang.

Penyakit takutkan mati adalah natijah secara langsung berpunca daripada cinta keterlaluan kepada dunia. Kerana sayangkan yang ada dalam genggamannya, harta bertimbun, anak pinak, pangkat dan keturunan membanggakan membuatkan seseorang itu menghidap penyakit takutkan mati.

Kebiasaannya, manusia yang takutkan mati lemah iman dan kurang takwa. Malah, dia juga lupa asal usul kejadiannya daripada tanah dan diciptakan Allah untuk beribadat kepada-Nya di dunia yang bersifat sementara ini.

Sedangkan kematian adalah peringkat yang pasti ditempuhi setiap insan bernyawa. Firman Allah yang bermaksud: "Tiap-tiap yang bernyawa pasti akan merasai kematian." (Surah ali-Imran, ayat 185) Mereka yang sentiasa mengingati mati menyediakan bekalan amalan salih sebanyak mungkin semasa hidup di dunia sebagai persiapan mengadap Allah adalah orang paling bijaksana di kalangan orang mukmin. Ini berdasarkan hadis diriwayatkan Ibnu Majah apabila ada seorang Ansar bertanya kepada Rasulullah SAW: "Wahai Rasulullah! Siapakah daripada kalangan kami yang paling bijaksana dan teguh imannya? Ujar baginda SAW: Iaitu orang yang paling banyak ingatkan mati dan juga paling banyak membuat persiapan dengan amal salih untuk menghadapi kematian. Mereka itulah kalangan orang mukmin terhormat yang datang mengadapku dengan kehormatan dunia dan kemuliaan akhirat." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Begitulah cintakan dunia dan takutkan mati yang dianggap sebagai penyakit ummah menimpa umat Islam kini. Tidak cukup sekadar itu, Islam menyediakan jawapannya atau jalan penyelesaiannya bagi mengubati penyakit berkenaan. Umat Islam dituntut berpegang teguh dengan Islam serta ajarannya yang suci dan menterjemahkannya dalam seluruh ruang lingkup kehidupan sejagat. Inilah formula dan rahsia bagaimana generasi Rasulullah SAW dan sahabat mencapai kemuncak
kegemilangan pada ketika itu.

Mereka berpegang teguh dengan Islam, seterusnya mempraktikkan Islam dalam realiti kehidupan. Mereka berjaya menunaikan amanah Allah menyampaikan dakwah Islam dan berupaya melebarkan sayap Islam ke seluruh pelusuk bumi. Sewajarnya umat Islam hari ini menjadikan Islam sebagai panduan dalam semua aspek kehidupan serta sentiasa menetapkan matlamat mencari keredaan supaya mampu berjaya dan cemerlang bukan saja di dunia, juga akhirat.

Penulis Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

Menjaga Perasaan

Hadis : Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya:”Jika kamu bertiga maka janganlah dua daripada kamu bercakap-cakap meninggalkan yang ketiga kerana perbuatan begini akan mendukacitakannya.” (al-Bukhari dan Muslim)

Huraian :
1. Apabila terdapat tiga orang berada dalam satu majlis maka tidak harus dua daripada mereka berbual dan meninggalkan yang ketiga. Perbuatan ini boleh menyebabkan orang yang ketiga berasa dukacita, gelisah dan menimbulkan buruk sangka kerana dirinya tidak dipedulikan.

2. Setiap manusia hendaklah memahami disiplin-disiplin dalam bergaul dan berinteraksi supaya tidak berlaku perkelahian dan pergaduhan.

3. Komunikasi yang berkesan adalah komunikasi yang menepati apa yang dimaksudkan bukan sesuatu yang samar-samar sehingga timbul berbagai fitnah dan cerita bohong yang diada-adakan hingga mengakibatkan perpecahan dan sebagainya.

4. Seorang muslim itu wajib menjauhi sebarang percakapan yang mengandungi unsur-unsur umpat keji, kata mengata dan sebagainya dan tidak menyibukkan diri dengan percakapan yang tidak berfaedah.



Hati yg terluka umpama besi bengkok
walau diketuk sukar kembali kepada bentuk asalnya.


Selemah-lemah manusia ialah orang yg tak boleh mencari sahabat dan orang yang lebih lemah dari itu ialah orang yg mensia-siakan sahabat yg telah dicari